oleh Azman Kamarudin & Mohd Tarmizi Ishak
Serdang, 20 Mei 2024 – Program Perkongsian dan Pemindahan Ilmu Pelajar Diploma Peniagaan dari Kolej Sunway, Selangor di Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berlangsung dengan jayanya. Program ini melibatkan 220 pelajar Diploma Kolej Sunway Selangor yang diiringi oleh 7 pensyarah.
Para pelajar berpeluang menimba ilmu dan merasai pengalaman praktikal penuaian dan pengeluaran hasil pertanian di UPM. Program ini telah dilaksanakan selama 2 sesi iaitu sesi pertama pada 29 April 2024 diadakan secara dalam talian dengan fokus memberikan penerangan terperinci mengenai aktiviti pengeluaran hasil pertanian. Sesi kedua pula merupakan sesi amali yang diadakan pada 20 Mei 2024, di mana pelajar terlibat secara langsung dalam aktiviti penuaian produk pertanian.
Lima modul aktiviti pertanian disediakan, melibatkan seksyen tanaman dan ternakan. Pelajar berpeluang mengendalikan tanaman sayuran berdaun seperti bayam, kangkung, salad, sawi, dan kalian; sayuran buah seperti terung dan cili; serta cendawan, puyuh, dan itik. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami pengendalian selepas tuai dan memproses hasil pertanian menjadi produk yang siap dijual.
Pelajar-pelajar ini telah melaksanakan kajian pasaran selama tiga minggu sebelum lawatan amali dengan mengumpul pesanan dari Kolej Sunway bermula 29 April 2024. Setiap kumpulan pelajar membeli hasil pertanian daripada Pusat Pertanian Putra, UPM, menjadikan pengalaman ini bukan sahaja pendidikan tetapi juga praktikal dalam dunia perniagaan.


Tarikh Input: 02/07/2024 | Kemaskini: 03/07/2024 | azman87

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan