Serdang, 27 Julai 2026 – Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Lawatan Tapak (Site Visit) bagi Program Pembangunan Usahawantani Dalam Kalangan Belia Siswazah (PROBEST) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara UPM dan Agrobank dalam melahirkan usahawan tani muda yang berdaya saing.
Program yang berlangsung dari 2.30 petang hingga 5.30 petang ini bertujuan memberi pendedahan kepada pihak pengurusan universiti dan rakan strategik mengenai pelaksanaan Program PROBEST, di samping meninjau kemudahan latihan serta perkembangan peserta yang sedang mengikuti program pembangunan usahawantani di Pusat Pertanian Putra.
Lawatan tersebut disertai oleh Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Hj. Sakimin Pengarah Pusat Pertanian Putra, Ts. Dr. Rosalam Che Me, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), wakil Pusat Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), wakil Kolej KediamanUPM serta pegawai-pegawai Pusat Pertanian Putra yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Program PROBEST.
Turut hadir mewakili Agrobank ialah En. Ahmad Ariff bin Abu Bakar, Chief Digital Officer (CDO) Agrobank, En. Rosli bin Jusoh, Head of Agrobank Centre of Excellence (ACE), dan pegawai-pegawai Agrobank.
Sepanjang lawatan, para jemputan dibawa meninjau beberapa lokasi utama latihan yang menjadi komponen penting Program PROBEST, antaranya Ladang Cili Fertigasi, Tapak Ternakan Puyuh yang disertakan dengan demonstrasi penyembelihan, serta Tapak Penanaman Melon, di mana para jemputan berpeluang merasai sendiri pengalaman memetik buah melon yang diusahakan oleh peserta program. Lawatan diakhiri dengan sesi ramah mesra dan Hi-Tea di Cafe Adly.
Pada sesi akhir program, Prof. Dr. Shamsul Bahri Hj. Md Tamrin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM telah hadir bagi menyertai lawatan dan sesi ramah mesra bersama para jemputan serta pihak pelaksana PROBEST. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan dan komitmen berterusan universiti terhadap usaha memperkukuhkan pembangunan usahawantani dalam kalangan belia siswazah melalui kerjasama strategik bersama Agrobank dan rakan industri.
Lawatan ini turut menjadi platform untuk berkongsi perkembangan pelaksanaan PROBEST yang memberi penekanan kepada latihan berasaskan pengalaman (experiential learning), pemindahan teknologi pertanian moden, pembangunan kemahiran keusahawanan serta pengukuhan nilai kepimpinan dalam kalangan peserta.
Pusat Pertanian Putra merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan memberikan komitmen dalam menjayakan lawatan tapak ini. Diharapkan kerjasama erat antara UPM, Agrobank, CEM dan WAZAN akan terus diperkasakan bagi menyokong agenda pembangunan sektor agromakanan negara serta melahirkan lebih ramai usahawan tani muda yang mampu menyumbang kepada kemajuan industri pertanian Malaysia.





Tarikh Input: 05/08/2026 | Kemaskini: 05/08/2026 | n_farrid

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan