
Serdang 1 April 2026 - Pusat Pertanian Putra (PPP) telah menerima lawatan daripada delegasi IIUM Holdings Sdn. Bhd. pada 1 April 2026 yang lalu. Lawatan ini diketuai oleh Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif IIUM Holdings Sdn. Bhd., bersama barisan pegawai pengurusan syarikat.
Delegasi telah disambut oleh Pengarah Pusat Pertanian Putra, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Sakimin bersama pegawai-pegawai PPP. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta perkongsian berkaitan pengurusan dan perancangan strategik guna tanah bagi pembangunan sektor pertanian.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan penerangan mengenai pendekatan PPP dalam mengurus dan mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian selaras dengan fungsi universiti sebagai pusat pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan. Sesi perkongsian turut memberi penekanan kepada aspek operasi ladang, termasuk perancangan aktiviti pertanian, pengurusan sumber serta pelaksanaan model pertanian yang mampan dan berimpak tinggi.
Lawatan ini kemudiannya diteruskan dengan lawatan tapak yang dimulakan di nurseri tanaman dan hiasan, diikuti lawatan ke Pusat Jualan PPP (Putra Mart). Delegasi seterusnya dibawa ke Ladang Bersepadu Puchong bagi melihat pelaksanaan operasi dan pengurusan ladang secara langsung. Sepanjang lawatan, pihak PPP turut memberikan penerangan mengenai perancangan pembangunan Ladang Puchong serta membawa delegasi melawat fasiliti hatcheri dan kolam ikan.
Diharapkan lawatan ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas perkongsian ilmu dalam bidang pertanian dan pengurusan sumber tanah.


Tarikh Input: 05/08/2026 | Kemaskini: 05/08/2026 | n_farrid

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan