Delima Putra (E7) Suatu Kejayaan | PUSAT PERTANIAN PUTRA
» BERITA » Delima Putra (E7) Suatu Kejayaan

Delima Putra (E7) Suatu Kejayaan

 

Serdang, 1 Jun 2021 - Taman Pertanian Universiti (TPU) telah berjaya mendaftarkan varieti tanaman jambu air dengan nombor pendaftaran E7 ke dalam Senarai Daftar Varieti Tanaman Kebangsaan, Jabatan Pertanian Malaysia yang berkuatkuasa pada 28 Januari 2021 yang lalu dengan nama yang dikenali sebagai "Delima Putra". 

 

 

Senarai Daftar Varieti Tanaman Kebangsaan, Jabatan Pertanian Malaysia ini adalah sangat penting bagi tujuan perekodan inventori sumber genetik yang terdapat dalam negara dan menjadi sumber rujukan rasmi negara. 

 

Sehubungan itu, berdasarkan peluang dan kelebihan yang ada, TPU telah mengambil langkah inisiatif ini.  Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia telahpun mengadakan lawatan pada 14 Januari dan 5 Ogos 2020 yang lalu untuk melakukan pencirian dan pemeriksaan ketulenan varieti pokok jambu air tersebut. 

 

 

Selepas dari pencirian dan pemeriksaan ketulenan, laporan dari hasil pemeriksaan tersebut telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan untuk menilai dengan lebih terperinci laporan yang telah dikemukakan oleh Pegawai Penciri sebelum memberikan kelulusan terhadap pendaftaran.

 

Pada 16 Oktober 2020, pihak Jawatankuasa Teknikal Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan telah berpuas hati terhadap keputusan penilaian varieti tersebut, dan hasil laporan ini menepati syarat yang ditetapkan.

 

Ini adalah julung kalinya UPM mendapat kejayaan ini dan sekaligus TPU menjadi perintis dalam mendaftarkan varieti tanaman yang ada dan mempunyai nilai komersial ke dalam Senarai Daftar Varieti Tanaman Kebangsaan.  Kejayaan dan pengiktirafan ini membuktikan TPU komited dalam memartabatkan pertanian di universiti selaras dengan hasrat universiti dan negara.

 

 

Tahniah diucapkan kepada Universiti Putra Malaysia, khususnya kepada Taman Pertanian Universiti di atas usaha ini.  Semoga TPU terus berjaya dan terus memainkan peranan yang penting dalam membantu UPM mencapai matlamat dan agenda pertanian negara.

Tarikh Input: 19/06/2021 | Kemaskini: 21/06/2021 | syedghazali

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PERTANIAN PUTRA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282/7301
+603 8942 4076
SXDcSAF~