PROGRAM PERMANIAN BERADAS LEMBU PEDAGING PPP MULA MENUNJUKKAN KEJAYAAN | PUTRA AGRICULTURE CENTRE
» NEWS » PROGRAM PERMANIAN BERADAS LEMBU PEDAGING PPP MULA MENUNJUKKAN KEJAYAAN

PROGRAM PERMANIAN BERADAS LEMBU PEDAGING PPP MULA MENUNJUKKAN KEJAYAAN

Serdang, 29 April 2026 -Program Permanian Beradas Lembu Pedaging yang dilaksanakan oleh Pusat Pertanian Putra (PPP) pada tahun lalu kini mula membuahkan hasil dengan kelahiran anak-anak lembu daripada baka pedaging terpilih.

Sehingga kini, dua ekor induk telah selamat melahirkan anak, masing-masing melalui kelahiran normal dan prosedur pembedahan C-Section. Kedua-dua anak yang dilahirkan adalah betina serta berada dalam keadaan sihat bersama induk masing-masing.

Salah satu kelahiran melibatkan anak kacukan Belgian Blue yang mempunyai saiz fizikal lebih besar, sekali gus memerlukan tindakan pembedahan bagi memastikan keselamatan induk dan anak. Prosedur tersebut telah berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil kepakaran serta komitmen tinggi pasukan veterinar yang terlibat.

PPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan Fakulti Perubatan Veterinar dan UVH, khususnya Dr Mark Hiew Wen Han, Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar, pasukan Seksyen Ternakan PPP, staf sokongan serta pelajar veterinar yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses pembedahan dan pemantauan ternakan.

Program ini bukan sahaja menyumbang kepada usaha peningkatan kualiti genetik ternakan pedaging, malah menjadi medan pembelajaran praktikal dalam aspek pembiakan, pemantauan bunting berisiko serta pengurusan kelahiran secara profesional.

Seekor lagi induk kini masih dalam pemantauan rapi dan dijangka akan melahirkan anak dalam masa terdekat.

PPP komited untuk terus menambah baik pelaksanaan program pembiakbakaan ini dari semasa ke semasa demi memperkukuh pembangunan ternakan lembu pedaging yang lebih produktif, berdaya maju dan lestari.

 

  

 

 

Date of Input: 29/04/2026 | Updated: 29/04/2026 | n_farrid

MEDIA SHARING

PUTRA AGRICULTURE CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 97692000
-
X, (02:39:43am-02:44:43am, 14 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]