PENJAGAAN POKOK NANGKA | PUSAT PERTANIAN PUTRA
» ARTIKEL » PENJAGAAN POKOK NANGKA

PENJAGAAN POKOK NANGKA

 

 

PENJAGAAN POKOK NANGKA

 

PENGENALAN

 

Buah Nangka adalah tergolong dari famili Moraceae dan ianya amat sesuai ditanam dikawasan tropika. Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok. Ianya berbuah sepanjang tahun dengan mula mengeluarkan hasil yang baik selepas 3 tahun ditanam.

Nama saintik bagi pokok nangka ialah Artocarpus Hytereophylus. Manakala jarak tanaman yang sesuai bagi pokok manggis ialah 9 m x 9 m dengan menggunakan sistem segiempat sama.

Bagi anak pokok nangka yang baru ditanam, kerja penyelenggaraan seperti kerja menyiram, kawalan rumpai, pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit serta perosak perlu dilakukan secara berterusan bagi menjamin pengeluaran buah yang baik dan berkualiti.

Pokok nangka mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas. Pokok yang berjaya dicantum perlu diletakkan dibawah naungan dan sesuai ditanam apabila pokok berumur 5 bulan dan keatas selepas dicantum.

Pokok Nangka yang disyorkan ditanam adalah seperti J27, J29, J30, J31, J33, Nangka Mastura USM 2000, CJ 3 dan CJ 6. Buah nangka boleh dimakan segar dan diproses.

 

TIP  PENJAGAAN

 

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut:-

 

Pengairan

  • Anak pokok didedahkan kepada cahaya matahari secara berperingkat supaya dapat menyesuaikan dengan keadaan suhu sebelum ditanam diladang.
  • Pada peringkat awal penanaman, anak pokok perlu disiram 2 kali sehari dari mula di tanam sehingga berumur 4-6 bulan supaya mendapat jumlah yang mencukupi bagi pertumbuhan yang baik dan sempurna.
  • Tidak digalakkan menanam pokok pada musim panas atau kemarau untuk mengelakkan kekurangan air, pokok menjadi layu dan mati.
  • Penggunaan bahan penyerap air seperti Jeli ( aquasorb )yang diletakkan didalam lubang bertujuan untuk memegang dan membekalkan air kepada pokok secara berterusan.
  • Penggunaan sungkupan seperti sabut kelapa, habuk papan, tandan kelapa sawit, tempurung kelapa sawit juga perlu digunakan supaya dapat mengawal kelembapan tanah dan memegang air dengan baik.

Kawalan rumpai

  • Rumpai yang tumbuh dikeliling pokok nangka perlu dikawal dengan menggunakan cangkul peringkat awal pertumbuhan dengan kekerapan 2 bulan sekali
  • Kawalan secara racun kimia iaitu jenis sentuh ( paraquat )digunakan apabila pokok telah matang dan tua.
  • Kawalan rumpai secara kimia dilakukan dalam 4 bulan sekali dengan semburan dikeliling pokok sahaja.

 

 Pemangkasan

  • Kerja pemangkasan pembentukan dan penjagaan pokok nangka bermula dari umur enam bulan hingga 2 tahun selepas penanaman diladang bagi mengawal dan membentuk pokok untuk pengeluaran hasil yang tinggi.
  • Pokok nangka perlu dibentuk dengan menggunakan sistem terbuka tengah pada awal pertumbuhan dengan mengalakkan dahan utama tumbuh 1 meter dari paras tanah dan membiarkan dahan-dahan sisi tumbuh mendatar.
  • Pemangkasan penjagaan juga perlu dilakukan pada pokok nangka dengan memotong tunas air , ranting yang melempai ke bawah/tanah yang tidak produktif, ranting yang bersilang, ranting yang mati dan berpenyakit.\
  • Sisa ranting dan tunas air perlu dikumpul dan dibuang bagi mengelakkan pembiakan habitat serangga dan perosak.

 

 

Pembajaan

  • Pada peringkat awal pertumbuhan, pokok nangka perlu dibekalkan dengan baja tumbesaran NPK 15:15:15 dengan kadar 600 gram setahun pada tahun pertama penanaman dan kekerapan membaja ialah 4 kali setahun bagi mengalakkan pertumbuhan tampang yang baru.
  • Pokok nangka yang mencapai umur matang, perlu ditabur dengan Baja buah 12:12:17:2 mengikut kadar yang tertentu dengan kekerapan 3 kali setahun.
  • Kadar baja tumbesaran dan baja buah yang digunakan bergantung kepada umur pokok dan kesuburan tanah.
  • Kaedah pembajaan yang boleh digunakan ialah seperti tabur keliling pokok, poket, parit, alur dan semburan foliar. 

 

Kawalan Penyakit dan Perosak

  • Pokok Nangka mudah diserang dengan serangga seperti Ulat Pengorek Batang, Ulat Pengorek buah, lalat buah, Kumbang Pemakan Daun dan lain-lain.
  • Manakala Penyakit yang menyerang pokok nangka ialah seperti Penyakit Mati Rosot, Penyakit Reput Buah, Penyakit Reput Pangkal dan sebagainya.
  • Kawalan yang mudah adalah seperti menggunakan racun kimia yang disyorkan, musnahkan buah yang diserang, bersihkan persekitaran, pangkas dahan yang berpenyakit dan sebagainya.

 

Disediakan oleh :

Norhaimanshah Ismail

Penolong Pegawai Pertanian

Taman Pertanian Universiti

Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 28/04/2021 | Kemaskini: 28/04/2021 | alfanhidayat

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PERTANIAN PUTRA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282/7301
+603 8942 4076
SXEUCAI~