Penjagaan Rusa | PUSAT PERTANIAN PUTRA
» ARTIKEL » Penjagaan Rusa

Penjagaan Rusa

Rusa adalah sejenis haiwan herbivor yang hidup liar di hutan. Ia tergolong dalam famili Cervidae manakala spesis adalah rusa timorensis atau Cervus timorensis dan rusa sambar atau Cervus unicolor. Daging rusa semakin popular di kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dimana harga dipasaran adalah antara RM40.00 – RM70.00/kg. Daging rusa mempunyai sumber protein yang paling tinggi dari haiwan lain serta rendah lemak dan kolesterol tetapi berkalori tinggi. Selain daging (venison), pemeliharaan rusa memberi pulangan daripada hasil sampingan seperti rongga tanduk muda (velvet), kulit dan juga tanduk matang (antler). Velvet digunakan secara meluas dalam bidang perubatan, khususnya ubat tradisi Cina dan mendapat permintaan yang tinggi dari negara Asia dan Timur Tengah seperti Jepun, China, Korea, Arab dan Malaysia sendiri. Kegunaan velvet dalam perubatan juga terbukti secara saintifik dimana velvet menggalakkan spermatogenesis dan pengeluaran testosterone, pengeluaran sel darah merah (erothrocyte) dan hemoglobin, meningkatkan kekuatan dan kecerdasan badan. Pada umumnya pengurusan rusa di sini dilakukan secara sistem pasture terbuka. Penjagaan rusa tidaklah begitu rumit. Pemakanan dan air yang mencukupi sudah memadai bagi menjamin pengeluaran yang memuaskan dari segi tahap pencapaian produktiviti. Rusa tidak memilih makanan dan tidak cerewet berbanding ternakan lain. Walaupun sumber makanan utama bagi rusa adalah dedaun dan rumput, namun dedak (goat pellet) boleh diberikan sebagai makanan tambahan. Dalam sistem pengurusan yang baik, rumput terpilih dan berprotein tinggi diberi untuk meningkatkan pertumbuhan berat badan. Jenis-jenis rumput yang disyorkan adalah seperti rumput guinea (kuda) Panicum maximum dan rumput napier (gajah) Pennisetum purpureum. Rusa juga tidak terkecuali dari ancaman penyakit walaupun ia adalah haiwan yang tahan lasak.

 Oleh Azlina Mohammad

Tarikh Input: 07/10/2019 | Kemaskini: 06/10/2020 | shuhaimi_rahim

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PERTANIAN PUTRA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282/7301
+603 8942 4076
SXDdJAq~