AB FERTILIZER SUPPLIES COMPLETE NUTRIENTS TO YOUR PLANTS | PUTRA AGRICULTURE CENTRE
» ARTICLE » AB FERTILIZER SUPPLIES COMPLETE NUTRIENTS TO YOUR PLANTS

AB FERTILIZER SUPPLIES COMPLETE NUTRIENTS TO YOUR PLANTS

Terdapat 16 unsur zat makanan atau nutrien yang diperlukan oleh tumbuhan untuk hidup subur. Tiga (3) unsur (C, H, O) boleh didapati secara semulajadi dari cahaya, udara dan air.   Manakala Tiga belas (13)  unsur lagi (nitrogen (N), fosforus (P), kalium (K), kalsium (Ca), magnesium (Mg) sulfur (S). ferum (Fe), kuprum (Cu), mangan (Mn), zink (Zn), molybdenum (Mo), boron (B), Clorin (Cl)) akan diserap oleh akar dari tanah atau media yang digunakan.  Tanah atau media yang subur dapat membekalkan nutrien secukupnya kepada tumbuhan, manakala bagi tanah atau media yang kurang subur kita perlu membuat penambahan unsur pemakanan atau baja.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Apa dia baja AB

 

Baja AB adalah  campuran dua komponen yang dipanggil   Baja A dan Baja B.  Campuran komponen A dan B akan menghasilkan baja yang sangat lengkap untuk keperluan pokok berbanding baja kimia lain.  Ini kerana unsur-unsur nutrient di dalamnya telah diformulakan pada kuantiti yang mencukupi untuk semua peringkat pertumbuhan dan perkembangan pokok. Oleh itu baja AB sering digunakan dalam sistem penanaman tanpa tanah.

 

Contoh perbandingan sayur yang menggunakan Larutan baja AB dengan baja kimia biasa

 

Menggunakan Baja AB

Menggunakan Baja Biasa

   

Pertumbuhan pokok seimbang dan subur kerana mendapat bekalan nutrient yang lengkap

Pertumbuhan pokok tidak seimbang dan terbantut akibat kekurangan nutrien

 

 

Baja AB juga dikategorikan sebagai baja kimia.  Namun begitu ia bukanlah bahan kimia yang bahaya malah baja AB selamat digunakan.

 

Dalam pasaran kita boleh membeli baja AB dalam bentuk serbuk atau dalam bentuk larutan stok baja.

 

Contoh Stok Baja  AB yang terdapat dalam pasaran:

 

   

Stok Baja AB dalam bentuk serbok

Stok Baja AB dalam bentuk larutan

 

Kandungan Komponen Baja A dan B

 

Komponen A mengandungi Kalsium nitrat  dan ferum.

Komponen B  mengandungi Kalium nitrat, magnesium sulfat, monokalium fosfat (MKP), mangan sulfat, zink sulfat, kuprum sulfat, asid borik dan ammonium molibdat.

 

Komponen  A dan Komponen B perlu disimpan dalam bekas yang berasingan.

 

Menyediakan Larutan Pati baja A dan B

 

Baja AB pada asalnya dalam bentuk serbuk dan ia perlu dilarutkan dalam air secara berasingan untuk menjadi pati atau larutan stok baja. 

 

Pada peringkat awal penyediaan kedua-dua komponen A dan B ini perlu diasingkan.    Ini kerana campuran kedua-dua komponen A dan B pada kepekatan tinggi akan membentuk mendakan putih hasil dari tindakbalas kimia di antara ion bercas -ve dan +ve dari bahan-bahan di dalamnya.  Mendakan ini akan menyebabkan saluran paip tersumbat dan akar pokok tidak dapat menyerap nutrien di dalamnya.

Oleh itu, komponen A dan B diasingkan untuk mengatasi masalah ini.

 

Di dalam pasaran, serbok pati baja AB boleh dibeli dalam kuantiti 1 kg hingga 25 kg untuk menghasilkan di antara 10L hingga 100L larutan stok baja.

 

Contoh cara menyediakan 10 L larutan stok baja AB

 

  • Sediakan 2 bekas tong air kapasiti 10L dan labelkan STOK A dan STOK B
  • Isikan 10L air paip ke dalam kedua-dua bekas.
  • Masokkan serbok pati baja A ke dalam bekas STOK A dan serbok pati baja B ke dalam bekas STOK B.
  • Kacau kedua-dua larutan sehingga larus sepenuhnya.
  • Larutan stok A dan B boleh digunakan selepas 24 jam dari tempoh persediaan.

 

Larutan Stok baja ini kemudiannya dicairkan dengan air  untuk menghasilkan  Larutan Baja AB sebelum dapat diberikan kepada tumbuhan. 

 

Cara menyediakan Larutan Baja AB (bacaan EC 1.5)

  • Sediakan tong berisi 10 L air. Labelkan BAJA C
  • Ambil 100 ml stok baja B masukkan ke dalam bekas C dan kacau sebati.
  • Ambil 100 ml stok baja A masukkan ke dalam bekas C dan kacau sebati.
  • BAJA C adalah Larutan Baja AB yang telah sedia untuk digunakan kepada pokok.

 

Menyukat Kepekatan Baja AB

Stok baja AB perlu dicairkan pada sukatan yang bersesuaian dengan usia dan jenis tumbuhan sebelum dapat diberikan kepada tumbuhan.

Setiap tanaman mempunyai tahap keperluan baja yang berbeza. Oleh itu kepekatan setiap air baja harus diberi perhatian terlebih dahulu agar bersesuaian dengan jenis dan usia tanaman.

Pemberian baja yang terlalu pekat menyebabkan sel dinding pokok menjadi lemah dan akhirnya pokok menjadi layu, kering dan akhirnya mati.

 

“EC Meter” adalah alat yang digunakan untuk menyukat kepekatan larutan baja  AB dengan tepat.   Alat penyukat EC meter hanya menyukat kepekatan baja dalam air dan ianya tidak menyukat kandungan sesuatu nutrien dalam air.

 

 

Contoh EC meter

 

Berikut adalah anggaran pencairan Stok AB bagi yang tidak mempunyai EC meter.

 

Bacaan EC (ms)

Kadar Stok / Air bersih

Kuantiti Stok + Air Bersih

0.5

1/400

3ml + 1L

1.0

1/200

5ml + 1L

1.5

1/100

10 ml + 1L

1.8

1/80

13 ml + 1L

2.0

1/70

15 ml + 1L

2.5

1/60

17 ml + 1L

2.8

1/50

70 ml + 1L

 

Panduan kepekatan baja bagi sayur-sayur terpilih

 

Nama sayuran

Bacaan EC

Kangkong/  bayam

1.8-2.0

Salad

1.2 -1.5

Sawi

1.8 -2.0

Cili

2.0 – 3.0

Melon

2.0 – 3.8

Tomato / Terong

2.0 – 3.0

Timun

1.8 – 2.5

 

Baja AB kebiasaannya disiram pada bahagian akar pokok. Namun baja ini juga boleh digunakan sebagai baja daun dengan cara meyemburkan pada bahagian bawah daun. Semburan baja pada daun seeloknya menggunakan pam semburan kabus dan dibuat pada waktu pagi kerana masa masa ini stomata di daun terbuka luas dan kadar penyerapan nutrien adalah tinggi.

 

Tanaman yang sesuai digunakan

 

Baja AB selalunya diberikan kepada tanaman tanpa tanah seperti yang ditanam secara hidroponik dan fertigasi melalui sistem pengairan.

Namun begitu baja ini juga sesuai diberikan kepada tanaman yang di tanam atas tanah atau dalam pasu, tetapi dengan menggunakan kepekatan yang lebih rendah berbandingkan dengan kepekatan yang digunakan dalam sistem tanpa tanah.  Baja AB boleh digunakan ke atas semua jenis tanaman.

Date of Input: 11/08/2021 | Updated: 14/10/2022 | liliamira

MEDIA SHARING

PUTRA AGRICULTURE CENTRE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282/7301
+603 8942 4076
SXEUEA2~