Cannon Ball - Buah Unik | PUSAT PERTANIAN PUTRA
» ARTIKEL » Cannon Ball - Buah Unik

Cannon Ball - Buah Unik


Pokok Cannon Ball atau nama saintifiknya Couroupita guianensis tergolong dalam famili Lecythidaceae; sama famili dengan pokok Brazil Nut. Spesies yang dikatakan berasal dari Amerika Selatan ini mampu mencapai ketinggian sehingga 20-25 meter. Di Malaysia ia lebih dikenali dengan nama pokok Peluru Meriam.

Tumbuhan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ranting-ranting yang keluar dari batang mengeluarkan bunga yang besar. Tumbuhan seperti ini bersifat kauliflori kerana mengeluarkan bunga dan buah pada batang. Bunganya mempunyai warna campuran merah jambu dan merah terang atau jingga dan mempunyai struktur yang tebal dan berlilin. Bunga pokok peluru meriam mengeluarkan haruman yang akan menarik serangga untuk mendebungakannya, kadang-kadang kelawar yang terbang malam biasanya akan membantu proses pendebungaannya.

 

Buahnya bersaiz besar dengan diameter antara 10 - 25 sentimeter dan berwarna coklat iaitu seperti warna karat. Bentuk buahnya bulat sama seperti peluru meriam dan buahnya mengambil masa lebih kurang setahun untuk masak dan apabila masak ia akan mengeluarkan bau yang agak tidak menyenangkan. Apabila kulit kerasnya dipecahkan terdapat banyak biji benih kecil di dalamnya yang dianggarkan sebanyak 200-300 biji.  Kegunaan tradisional berdasarkan rekod, digunakan oleh orang asli tempatan di Amerika Selatan untuk merawat selesema dan sakit perut. Jus di ambil daripada perahan buah yang tumbuh daripada batang pokok untuk merawat penyakit kulit manakala daun muda pernah digunakan untuk melegakan sakit gigi. Shaman (pawang dan dukun) di Amerika Selatan juga menggunakan bahagian pokok peluru meriam untuk merawat pesakit yang menghidap demam malaria. Bahagian lapisan dalam buahnya pula digunakan untuk merawat dan menyembuhkan luka.

Sumber :

Anim Agro Technology

Segalanya Tentang Tumbuhan.@ www.fazlisyam.com

 

 

Tarikh Input: 09/10/2019 | Kemaskini: 09/10/2019 | shazry

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PERTANIAN PUTRA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 7282/7301
+603 8942 4076
WXFVMAA~